Wednesday 21 September 2011

Mengatasi Anak Muntah

Hari ini hari ketiga anak bongsuku yang berumur 3 tahun, muntah-muntah. Semalam telah berkurang muntahnya, tapi hari ini berulang kembali muntahnya. Hari ini juga, Atiqoh telah mula panas badan. Terasa sayu melihat anak yang biasanya lincah dan keletah berkata-kata ini menjadi lesu dan cuma terbaring sahaja.

Aku mencari maklumat berkaitan dengan faktor kejadian muntah. Aku menjumpai 1 artikel yang boleh dikongsikan bersama..

Pemakanan Betul Atasi Masalah Muntah

Muntah adalah proses aktif, membabitkan pengecutan otot perut yang membolehkan kandungan di dalamnya dikeluarkan melalui perut. Proses ini berlainan daripada masalah regurgitasi di mana ia adalah proses tidak aktif yang menyebabkan sebahagian kecil daripada pemakanan bayi dikeluarkan. Proses ini biasanya berlaku kepada kanak-kanak yang kurang daripada setahun.

Cara Kurangkan Masalah Muntah
Kelazimannya muntah disebabkan oleh infeksi virus yang membabitkan usus atau makanan yang kurang serasi dengan kanak-kanak terbabit. Selalunya, kanak-kanak yang muntah disebabkan oleh virus akan juga mengalami masalah cirit. Jika kanak-kanak muntah melebihi 24 jam tanpa cirit, dia mungkin mengalami masalah yang lebih sukar. Berapa lamakah masalah muntah ini wujud? Selalunya, ia akan berkurangan selepas enam hingga 24 jam. Pertukaran dari segi pemakanan boleh mengurangkan masalah muntah dan dehidrasi. Jika kanak-kanak juga mengalami masalah cirit ia boleh berlanjutan untuk beberapa hari.

Berikan kanak-kanak air dalam kuantiti yang kecil selama kira-kira lapan jam selepas muntah yang terakhir, bagi kanak-kanak yang kurang daripada setahun gunakan garam rehidrat. Pastikan air diberi menggunakan sudu. Jika tiada garam rehidrat gunakan susu yang diberi dengan kadar kecil.

Mulakan dengan kira-kira satu sudu teh atau sudu makan bergantung kepada umur anak anda. Berikan lebih kurang setiap lima minit, selepas lebih empat jam tambahkan kuantiti minuman anak anda. Jika masalah muntah terus berlaku, berhenti seketika selama kira-kira satu jam dan mulakan dengan kuantiti yang lebih rendah.

Setelah lebih kurang lapan jam tanpa muntah, anak anda bolehlah memulakan diet seperti biasa. Bagi kanak-kanak yang kecil mulakan dengan makanan seperti bubur dan adalah baik jika kuantiti pemakanan dikurangkan sedikit. Bagi kanak-kanak yang lebih berumur, bubur boleh juga diberikan selain makanan lain seperti roti, kentang putar, sup dan sebagainya.

Bagi bayi yang menyusu badan pula, apa yang perlu dilakukan ialah memberi penyusuan pada kuantiti yang lebih rendah tetapi kerap. Penyusuan boleh diberikan selama 10 minit setiap satu jam, jika masih lagi muntah kuantiti penyusuan mungkin dikurangkan kepada lima minit setiap setengah jam. Gunakan garam rehidrat kira-kira satu sudu besar setiap 15 minit jika muntah berterusan.
Ubat-Ubatan
Elakkan daripada memberi ubat melalui mulut. Ubat ini mungkin menyebabkan kanak-kanak muntah. Jika demam, penggunaan ubat demam yang diberi melalui sumbatan punggung boleh dilakukan. Jika demam berterusan pastikan anda mendapatkan nasihat doktor.

Cara penjagaan salah yang kita lakukan adalah memberi sebanyak mana air yang diminta oleh kanak kanak terbabit. Ini akan menyebabkan kanak-kanak itu terus muntah. Penggunaan ubat tahan muntah jarang dapat menyelesaikan masalah. Strategi pemakanan yang betul selalunya dapat menyelesaikan masalah muntah terbabit.
Bilakah Sepatutnya Mendapatkan Nasihat Doktor?
Tanda-tanda kering/dehidrasi
Darah dalam muntah
Jika kandungan muntah mengandungi jus hempedu (billous vomiting), biasanya muntah berwarna hijau
Muntah berterusan diikuti dengan cirit-birit yang terlalu kerap
Anak anda lemah, tidak bermaya dan kelihatan lesu.
enjadi lesu dan terbaring sahaja.

Sunday 21 August 2011

Mana Mak ?

Ketika meluangkan masa membuka FB, aku tertarik dengan satu status yang dikirimkan oleh seorang rakan.
Sebuah cerpen yang bertajuk Mana Mak, yang dipetik dari Blog Secawan Teh..
Menitis air mata sebaik sahaja menghabiskan membaca cerpen yang penuh bermakna ini.. Teringat kepada ibu dan ayah yang telah lama tiada..

Di sini, aku paste kan cerpen itu agar di lain kali, aku berpeluang untuk menatapnya semula..





MANA MAK ?

Jam 6.30 petang.

Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bongsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “ Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian,



Jam 6.30 petang



Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.



Ayah tanya Along, “Mana Mak?”



Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”



Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”



Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”



Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.





Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"



Ateh menjawab, “Entah.”





Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.



Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.



Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.





Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.



Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"



Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.



Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.



Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.



Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"





Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.



Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.



Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.





Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.



Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.



Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."



Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.



Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.



Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.



Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.



Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.





Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.



Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."



Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.





Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah , “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak p ayah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”

Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.



Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.





Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.



Beberapa tahun kemudian



Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.



Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.



Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.





Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.





Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.



Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..



Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.



Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,



"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "



Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."



"Ayah, ayah ....bangun." Suara Ateh memanggil ayah . Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..



Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"



Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.



Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa perasaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. KataRasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah . Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telefon panggilan dari ibu tanpa berjawab?

Friday 19 August 2011

Bersabarlah dengan ujian dari Allah

Pada saat umat Islam menyambut Ramadhan, seorang rakan sekerja menerima ujian maha hebat.. suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Terkedu menerima sms dari seorang rakan yang menyampaikan berita ini..

Siti yang baru mengajar di sekolahku mempunyai seorang anak perempuan berumur kira-kira setahun.. Pastinya berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.. Moga Siti tabah dengan ujian ini..sesungguhnya ujian itu tanda kasih sayang-Nya..

Perkongsian dari blog Genta Rasa, ustaz Pahrol berhubung MUSIBAH:

Selaku umat Islam yang wajib meyakini kasih sayang Allah sentiasa melindungi kehidupan kita. Kalimah “Bismillahir Rahman nir Rahim” – dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang – sentiasa menjadi sebutan kita. Namun ketika musibah seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, kegagalan dan kekalahan melanda diri, mungkin hati kecil kita tertanya-tanya, mengapa? Mengapa Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang itu mentakdirkan begitu? Sudah sirnakah kasih-sayangNya?

Jangan. Jangan begitu. Dalam apa jua keadaan pun kita wajib yakin bahawa takdir Allah pasti mengandungi banyak hikmah dan kebaikan. Istilah buruk, hanya ada dalam rumus pemikiran manusia. Manakala di sisi Allah, segalanya punya maksud baik walaupun kekadang pada zahirnya tidak begitu. Kelihatannya sangat pahit, tetapi ia manis dan indah. Hanya apabila hikmahnya dapat dicungkil, insya-Allah.
Mengetahui dan merasai hikmah sesuatu musibah akan dapat meringankan beban perasaan dan menjawab banyak tanda tanya dalam jiwa terhadap perkara-perkara yang tidak selari dengan kehendak kita. Ia adalah syarat bahagia dan ketenangan jiwa. Apa pun, hanya mereka yang sempurna akal dan penelitiannya sahaja yang dapat menjangkau hikmah yang tersirat di sebalik cubaan dan bala yang menimpa.

Justeru seorang ahli hikmah, Ibn Ataillah Askandari pernah berkata, “Barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.” Tegasnya, apa jua takdir Allah pasti bermaksud baik walaupun kelihatannya pahit. Beliau berkata lagi, “Bila Allah menguji orang Islam dengan tragedi, maka mereka mesti melihat dengan mata hati, dan memikirkan dengan akal, agar tercungkil hikmahnya. Jika tidak, itu petanda penglihatan hati tidak jauh, akal yang pendek.”

Untuk mencari hikmah sesuatu musibah kita mesti meyakini terlebih dahulu bahawa musibah adalah sebahagian ujian yang pasti menimpa manusia. Ujian adalah satu sunnatullah (peraturan Allah) yang tidak ada siapa pun dapat menghindarkannya kerana hidup ini hakikatnya adalah satu ujian. Bila sanggup hidup, mesti sanggup diuji. Firman Allah s.w.t.:
“Dijadikan mati dan hidup kepada kamu untuk menguji siapakah yang terbaik amalannya.”
(Surah al-Mulk: 3)

Apa itu musibah? Secara ringkasnya musibah ditakrifkan sebagai segala sesuatu yang tidak disukai oleh manusia berupa kematian, kesakitan, kemiskinan, ketakutan, kegagalan, kesedihan dan lain-lain. Jadi, Allah pasti menguji kita dengan sesuatu yang tidak kita sukai (musibah). Kita tidak sukakan kematian, tetapi siapa yang boleh mengelak daripada mati? Kita benci kesakitan, tetapi itulah adalah lumrah hidup. Lalu hati kita bertanya lagi, mengapa Allah datangkan semua itu? Apa perlunya musibah?

Musibah ditakdirkan adalah untuk menyerlahkan nilai diri kita di sisi Allah. Terutamanya Allah hendak menilai (walaupun hakikatnya Allah maha Mengetahui) sejauh mana hati kita. Sesungguhnya, Allah menilai hati kita dan amalan kita. Sabda rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu tetapi Allah melihat hati dan amalan kamu.”

Dengan ujian sakit, barulah diketahui tahap kesabaran dalam hati kita. Bila diuji dengan peperangan, baru terserlah tahap keberanian kita. Khususnya bagi orang yang beriman, ujian didatangkan untuk menilai dan mengukur semula sejauh mana keimanan kita kepada Allah. Oleh itu iman dan ujian saling berkaitan. Lebih tinggi tahap keimanan seseorang semakin berat ujian yang diterimanya.

Apa¬bila diuji barulah diketahui apakah hati itu telah yakin (beriman) ataupun masih ragu-ragu. Firman Allah s.w.t.:
“Apakah manusia mengira, ia akan dibiarkan sahaja, mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?”
(Surah al-Ankabut: 2)

Namun begitu, perlu diketahui bahawa Allah menguji orang Islam atas se¬bab-sebab yang berbeza yakni mengikut tahap hubungan mereka dengan ALLAH. Berdasarkan sebab-sebab itulah letaknya kemuliaan atau kehinaan seseorang manusia. Ujian yang berlaku kepada manusia sama ada memuliakannya atau menghinakannya.

Musibah menimpa semua manusia – tidak kira sama ada yang baik atau yang jahat. Cuma bagaimana keadaan seseorang semasa dia ditimpa musibah dan bagaimana dia menghadapi musibah itu menentukan darjatnya di sisi Allah. Benarlah seperti yang selalu diungkap“… it’s not what happens to you, but it’s what you do about it.”
Bukan kerana apa yang berlaku kepada kita yang penting, tetapi apa yang kita lakukan terhadapnya. Jadi amat berbeza sekali apa yang dilakukan oleh orang yang akrab dengan Allah berbanding dengan orang yang jauh daripada Allah walaupun musibah yang menimpa mereka sama. Ya, kita tidak boleh mengelakkan diri daripada musibah tetapi kita mampu mengubah musibah itu menjadi satu kebaikan sekiranya kita dapat merasai hikmahnya dan bertindak selaras dengan hikmah tersebut.

Sekurang-kurangnya ada tiga jenis musibah (walaupun pada hakikatnya musibah itu sama sahaja) tetapi yang berbeza adalah disebabkan keadaan diri orang yang menerimanya dan bagaimana mereka bertindak ketika menghadapi musibah tersebut.

1. Kifarah.

Yakni musibah ke atas orang yang baik tetapi ketika itu terlanjur melakukan kejahatan kerana kelalaian dan tidak mampu melawan hawa nafsu. Maka musibah itu diturunkan sebagai “tebusan” untuk meng¬hapus¬kan dosa dan ketelanjuran itu. Ertinya, Allah membalas kesalahannya di dunia untuk melepaskannya daripada dibalas di akhirat. Ini lebih baik kerana azab di dunia lebih ringan berbanding azab di akhirat.
Ringkasnya, kifarah adalah ujian untuk “orang baik yang terbuat jahat”. Dengan ujian itu, “orang baik” tersebut akan mendapat peringatan dan amaran atas kelalaian dan ketelanjurannya lalu berusaha untuk bertaubat kepada Allah.

Firman Allah s.w.t.:
“Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.” (Surah al-Zukhruf, 43: 48)

Firman Allah swt:
“Dan kami bagi mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan. Di antara mereka ada yang soleh dan di antara mereka ada yang tidak demikian. Dan Kami cuba mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali kepada kebenaran.” Al A’raf 168

2. Bala.

Yakni ujian ke atas orang jahat yang sedang melakukan kejahatan. Allah datangkan musibah itu sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum lebih berat di akhirat. Dengan kemurkaan-Nya Allah turunkan kepedihan dan kesengsaraan di dunia lagi sebelum orang itu diazab di neraka. Orang yang begini akan diseksa dua kali, pertama di dunia, kedua di akhirat.

Ringkas¬nya, bala ialah bentuk ujian ke atas “orang jahat yang buat jahat”. Umat Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir, Fir’aun yang ditenggelamkan di Laut Merah, Namrud yang dibunuh nyamuk, Qarun yang ditelan bumi adalah antara mereka yang ditimpa bala di dunia lagi sebelum merasai pula seksa di akhirat.

Firman Allah s.w.t.:
“Dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan meng¬azab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat.”
(Surah al-Tawbah, 9: 74)

Firman Allah lagi:
“maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu krikil dan ada antara mereka yang ditimpa suara keras yang mengguntur, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” Al Ankabut: 40

3. Ibtila’

Yakni musibah ke atas orang baik ketika melakukan ke¬baikan. Ia adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang taat. Justeru dengan ibtila’ hamba itu akan mendapat pahala berganda dan ditinggikan darjatnya di sisi Allah. Dengan musibah, orang yang soleh ini akan mendapat pahala syahid, pahala sabar, pahala redha, pahala qanaah, pahala pemaaf, sangka baik dan sebagainya.

Justeru jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Allah? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi (Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Musa, Nabi Ibrahim, Nabi Isa) – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung musibah.

Ringkas¬nya, ibtila’ ialah ujian ke atas “orang baik yang buat baik”. Golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solehin ialah mereka yang sentiasa diuji dalam bentuk ibtila’ ini khususnya ketika mereka berjuang menegakkan kebenaran. Untuk mengambil ibrah dan hikmah daripada sikap mereka ini Allah s.w.t. telah mengingatkan kita menerusi firman-Nya:
“Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”
(Surah al-Baqarah: 214)

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebalik ujian itu. Bila menerima musibah tidak sekalipun mereka tidak mengeluh atau mengadih, “kenapa aku yang kena?” sebaliknya mereka akan berkata, “aku telah terpilih.” Maksudnya, terpilih untuk ditinggikan darjat di sisi Allah dan terpilih untuk mendapat pahala yang besar berganda.

Untuk orang yang sabar Allah menjanjikan bahawa orang yang sabar itu diganjari dengan pahala tanpa hisab.
Bagi mereka yang syahid pula, Rasulullah saw telah bersabda:
“Akan diampuni bagi orang yang mati syahid setiap dosanya kecuali hutang.” (HR Muslim).

Atas dasar itulah sebahagian ulama salaf berkata:
“Andaikan tidak ada musibah di dunia, tentu kita datang pada hari kiamat tanpa membawa pahala.”
Bagaimana pula nasib orang yang derhaka ketika mereka ditimpa musibah? Apakah Allah tidak sayangkan mereka? Jangan tersilap, malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan Allah adalah untuk kebaikan.

Jika orang baik mendapat peningkatan darjat bila menerima musibah, maka orang yang berdosa pula mendapat satu pengampunan dengan musibah (kafarah) yang diterimanya. Rasulullah saw bersabada:
“Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah tertusuk duri atau lebih dari itu, kecuali dengannya Allah akan menghapuskan sebagaian dosanya.” (HR Bukhari dan Muslim.)

Tanpa menuding jari kepada sesiapa maka kita harus bermuhasabah terhadap diri sendiri, ketika ditimpa musibah kita di golongan yang mana? Golongan yang diuji secara ibtila’, kafarah atau bala? Paling tidak tidaknya, biarlah kita diuji secara kafarah, yang dengannya kita akan menyegerakan taubat kepada Allah. Tagihlah janji Allah ini:
“Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, maka Allah memaafkan sebahagian besar dari kesalahan-kesalahanmu.” Syura: 30

Itulah antara hikmah terbesar di sebaliknya datangnya musibah. Yang dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh hamba Allah yang taat, tetapi juga hamba yang menderhakai-Nya. Maka daripada dimensi pemikiran inilah kita harus melihat apa di sebalik musibah demi musibah yang menimpa umat Islam kini.

Umat Islam telah dibunuh, dijajah, dirogol, ditimpa pelbagai bencana alam seperti tsunami, banjir besar dan lain-lain. Musibah ini dideritai oleh semua umat, tidak kira yang derhaka atau yang taat menepati apa yang telah ditegaskan Allah menerusi firman-Nya:
“Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu. Dan ketauilah Allah amat keras seksaan-Nya.” Al Anfal 25

Semua musibah itu hakikatnya untuk mengingatkan umat Islam agar kembali kepada Allah – beriman dan menegakkan hukum-hakam-Nya dalam seluruh aspek kehidupan. Firman Allah:
“Dan sesungguhnya kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada umat-umat yang sebelum kamu, kemudian Kami seksa mereka dengan menimpakan kesengsaraan dan kemelaratan supaya mereka memohon kepada Allah dengan tunduk merendah diri.” Al An’am 42.

Malangnya, sebahagian besar umat Islam masih berdegil. Justeru, tidak mustahil Allah akan terus “membersihkan” bumi Afghanistan, Iraq, Khasmir dan Palestin daripada terus dihuni oleh insan-insan derhaka melalui musibah sama ada yang berbentuk iblita’, kafarah atau bala. Kematian, kehancuran dan penjajahan akan terus berlaku. Insya-Allah setelah dunia Islam “dibedah” dan orang-orang jahat yang umpama “barah” yang menanah itu dikeluarkan, maka barulah muncul generasi yang lebih bersih, kuat dan ber¬iman.

Dan hanya pada ketika itu dua golongan umat Islam – pertama mereka yang diuji secara ibtila’ dan kedua, mereka yang kembali bertaubat bila diuji secara kafarah, akan mendapat bantuan Allah untuk menggerakkan satu kebangkitan baru Islam yang lebih kuat dan bertenaga.

Akhirnya, perlulah diketahui bahawa rahsia kejayaan para rasul dalam misi perjuangan mereka ialah kerana mereka sentiasa mendapat bantuan daripada Allah. Untuk itu mereka berusaha melalui dua dimensi. Pertama, dimensi lahiriah yakni dengan memerah tenaga, fikiran dan menyediakan kekuatan material dan fizikal. Kedua, dimensi rohaniah yakni dengan melakukan amalan taat dan meninggalkan maksiat. Hasilnya, mereka dapat mengalahkan musuh yang lebih ramai, kuat, dan kaya daripada mereka.

Firman Allah s.w.t.:

“Berapa banyakgolongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang ramai dengan izin Allah.”

Musibah yang berlaku ke atas umat Islam di serata dunia sesungguhnya membawa hikmah yang besar apabila dilihat dengan mata hati. Pada zahirnya, negatif tetapi secara tersirat ia membawa seribu satu hikmah dan pengajaran. Dalam apa jua keadaan, susah mahupun senang, orang yang beriman akan mendapat kebaikan. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:
“Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.

Ya, yang penting dalam musibah yang menimpa umat Islam kini ialah bagaimana kita bangun kembali setelah diuji. Kata bijak pandai: “It is not how low you fall but how high you bounce back!” Tegasnya, musibah-musibah yang datang bertubi-tubi ke atas umat Islam kini ialah untuk menyerlahkan siapakah di antara kita umat Islam sebenar dan siapa pula umat Islam yang menyamar?

Hanya umat Islam yang benar-benar berpegang dan mengamalkan kebenaran sahaja akan diberi kemenangan dalam menghadapi musuh-musuhnya. Musibah adalah kaedah Allah untuk menyerlahkan siapa yang benar itu. Mereka yang memohon keampunan lalu diberikan keampunan dan dibebaskan daripada kesempitan. Sabda Rasulullah saw:
“Barangsiapa yang memperbanyakkan istighfar, maka Allah akan membebaskannya dari kesedihan, dan memberi jalan keluar bagi kesempitannya dan akan memberi brezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.” HR Abu Daud

Monday 15 August 2011

Tanggungjawab Isteri, Ibu..





Kadang-kala kita lupa bahawa sebagai ISTERI, kita mempunyai amanah yang perlu dipikul.. Ia tak sama dgn kerjaya yang mengharapkan gaji bulanan. Ia dilaksanakan dengan ikhlas, telus, mengharapkan keredhaan Allah..
Selain menjadi ISTERI, kita juga memikul tanggungjawab sebagai IBU..

Dalam sesebuah rumahtangga,isteri juga mempunyai tanggungjawab tertentu yang wajib dipenuhi,antaranya ialah:

1.Isteri mestilah sentiasa mentati suami mereka dan menjaga maruah suami mereka selama mana suaminya itu tidak menyuruh atau melakukan perkara yang bertentangan dengan agama.Dalam sebuah Hadis yang bermaksud, “Andainya aku ini orang yang menyuruh sesiapa supaya bersujud kepada orang,pasti aku menyuruh isteri itu bersujud kepada suami mereka”.

2.Isteri mestilah memberikan hak suami yang ingin menyetubuhinya pada bila-bila masa sahaja selagi ia dibenarkan oleh syara’,contohnya ketika bersih daripada haid dan nifas.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu.Oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai,dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu;dan bertaqwalah kepada Allah SWT serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada Hari Akhirat kelak).Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang beriman”- (Surah Al-Baqarah 2:223)

3. Menjaga maruah dirinya baik sewaktu di hadapan suami mahupun semasa ketiadaannya.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“…Maka perempuan-perempuan yang salih itu ialah yang taat (kepada Allah SWT dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama,dengan pemeliharaan Allah SWT dan pertolongan-Nya… -(Surah An-Nisa’ 4:34)

4. Menjaga serta membelanjakan segala harta suami dengan jalan yang baik serta dengan keizinannya terlebih dahulu.

5. Tidak boleh keluar rumah tanpa keizinan suaminya.

6. Tidak boleh menceritakan dan mendedahkan kelemahan suaminya kepada orang lain.

7. Mesti bertindak sebagai penghibur hati dan sentiasa melakukan perkara yang mendatangkan kesenangan hati suami mereka.

8. Sentiasa memberikan layanan yang baik kepada suaminya.

9. Sentiasa menghormati dan taat setia pada suami sebagai ketua keluarga.

Sebagaiman firman Allah SWT yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan,oleh kerana Allah SWT telah melabihkan orang lelaki(dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan,dan juga kerana orng lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka…” -(Surah An-Nisa’ 4:34)

Marilah kita ikhlaskan diri dalam apa pekerjaan kita..
Walau penat lepas seharian bekerja di luar, bila balik rumah..lihat rumah tunggang-langgang, kain baju menimbun belum berbasuh, anak-anak yang comot dan lapar.. Berlapang dadalah dengan semua itu. Belajar berfikir positif, bahawa kita masih berpeluang bersama-sama keluarga dan anak2 yang disayangi... Rumah kotor itu sbg bukti kita masih dikelilingi anak2 yang aktif dan ceria..

Saturday 13 August 2011

Fruit Extracts Slideshow

Fruit Extracts Slideshow: "TripAdvisor™ TripWow ★ Fruit Extracts Slideshow ★ to . Stunning free travel slideshows on TripAdvisor"

Thursday 11 August 2011

Kelebihan Membaca Surah Al-Waqiah





Surah Al-Waqi’ah (سورة الواقعة) adalah surah yang ke-56 dalam Al-Quran, terletak pada juzuk ke 27 dan terdiri dari 96 ayat. Surat yang diturunkan selepas Surah Taahaa ini dinamakan dengan Al-Waaqi’ah (Hari Kiamat), diambil dari perkataan Al-Waaqi’ah yang terdapat pada ayat pertama. Di dalam surah Al-Waqi’ah ini menerangkan tentang hari kiamat, balasan yang diterima oleh orang-orang mukmin dan orang-orang kafir. Diterangkan pula penciptaan manusia, tumbuh-tumbuhan, dan api, sebagai bukti kekuasaan Allah dan adanya hari kebangkitan.
Apa yang hebatnya surah Al-Waqiah ini, dengan amalan membacanya ia memberikan beberapa khasiat dan kelebihan tersendiri.


Sabda Rasulullah SAW:
“Surah al-Waqiah adalah surah kekayaan. Hendaklah kamu membacanya dan ajarkanlah ia kepada anak-anak kamu.” (Riwayat Ibn Mardawaih daripada Anas: Kasyf al-Khafa’).
“Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam ia tidak akan ditimpa kefakiran.” (Riwayat daripada Ibn Mas‘ud: al-Azkar, al-Jami al-Soghir).
“Ajarkanlah surah Al-Waqi’ah kepada isteri-isterimu. Kerana sesungguhnya ia adalah surah Kekayaan.” (Hadis riwayat Ibnu Ady)
Menurut fatwa sebahagian Ulama’ katanya:
“Barangsiapa membaca surah Al-Waqi’ah pada setiap hari dan malam dalam satu majlis sebanyak 40 kali, selama 40 hari pula, maka Allah akan memudahkan rezekinya dengan tanpa kesukaran dan mengalir terus dari pelbagai penjuru serta berkah pula.”

Diantara fadhilah-fadhilah membaca surat Al-Waqi’ah adalah:
1. Jika dibaca setiap malam sebagai wirid, maka tidak akan tertimpa kepapaan.
Rasulullah bersabda :
Man qara’a suratal-Waqi’ati kulla lailatil lam tusibhu faqah, wa suratul-Waqi’ati suratul-gina faqra’uha wa ’allimuha aulada-kum.
Ertinya:
“Barangsiapa membaca surat Al-Waqi’ah tiap malam, maka tidak akan menimpa kepadanya kepapaan. Dan surat Al-Waqi’ah adalah surat kaya, maka bacalah dan ajarkanlah kepada anak-anak kamu.”
2. Berkata Masruq: “Siapa ingin mengetahui cerita orang-orang terdahulu dan orang-orang terkemudian, serta cerita ahli surga dan ahli neraka, penduduk dunia dan akhirat, maka bacalah surat Al-Waqi’ah”. (Tafsir Jamal, Juz IV halaman 269)
3. Imam Ja’far ra. berkata: “Barangsiapa membaca surat Al-Waqi’ah pada waktu pagi ketika keluar dari rumahnya untuk bekerja, atau untuk mencari kebutuhan. Maka Allah Ta’ala mempermudah rezekinya dan mendatangkan hajatnya. Dan barangsiapa membaca surat Al-Waqi’ah pada waktu pagi dan petang, maka ia tidak akan kelaparan atau kehausan, dan tidak akan takut terhadap orang yang akan memfitnah, sedangkan fitnahannya kembali pada orang itu”. (Khazinatul Asrar Kubra, hal. 360)
4. Disebutkan dalam Khawashul Qur’an, siapa yang membaca surat Al-Waqi’ah sebanyak 41 kali dalam satu majlis, maka didatangkan hajatnya, terutama urusan rezeki. Dan barangsiapa membaca surat Al-Waqi’ah sesudah sholat Asar sebanyak 14 kali dalam satu majlis, maka didatangkan hajatnya, terutama urusan rezeki. Aturan tersebut adalah mujarab. Jika menginginkan datangnya rezeki dari Allah dengan tak terkira-kira datangnya, maka bbacalah surat Al-Waqi’ah selama 40 hari berturut-turut jangan terputus, dan setiap harinya dibaca 40 kali.
5. Dengan mewiridkan surat Al-Waqi’ah sebagai bacaan rutin setiap hari dan malam, maka Allah menjauhkan kefakiran selamanya. Sa’d Al Mufti mengatakan, bahwa hadist ini shahih.
Rasulullah bersabda:
Man qara’a suratal-Waqi’ati lam yaftaqir abada.
Ertinya:
“Barangsiapa (membiasakan) membaca surat Al-Waqi’ah, maka ia tidak akan kefakiran selamanya.”
Anda boleh baca surah Al-Waqiah di sini beserta maksudnya. Baca dan hayati. Semoga mendapat hidayah dari bacaan tersebut. Amin




Kiraan Haidh Mengikut Hukum Islam..

Sebagai wanita yang dicipta dengan pelbagai keistimewaan.. Selain kelembutan dan dihiasi kecantikan, wanita juga dibekalkan dengan perasaan kasih sayang yang melimpah ruah..

Namun begitu, belum ramai wanita muslimah yang tahu cara pengiraan haidh yang sebenar..
Maka, di sini ingin saya kongsikan sedikit ilmu yang saya pelajari dari seorang Tok Guru Hj Daud..

Jika haidh pertama anda pada  zuhur 1hb Januari, maka dianggap tempoh haidh sepanjang 15 hari. Hari terakhir haidh ialah pada zuhur 16hb Januari. Jika anda suci lebih awal, maka diwajibkan ke atas anda untuk mandi wajib dan melakukan ibadah seperti biasa. Kemudian, tempoh suci juga selama 15 hari iaitu, bermula zuhur 16hb Januari hingga zuhur 31hb Januari.

Permasalahan yang selalu mengelirukan muslimah di luar sana ialah..apabila kelihatan darah keluar, maka terus dikatakan haidh tanpa mengira tempoh haidh dan tempoh suci.

Seandainya, pada 28hb Januari, ada darah..itu bukan dianggap darah haidh. Anda wajib menunaikan solat dan berpuasa seperti wanita dalam keadaan suci yang lain. Hanya dianggap haidh selepas zuhur 16hb Januari.. Hal ini jarang diketahui oleh muslimah umum kerana hanya mereka yang belajar dengan mendalam sahaja mengetahui hal ini.

Sekiranya, anda didatangi haidh pada 3 Feb, maka 3 Feb itu bermula hari pertama tempoh haidh yang akan mengambil tempoh kiraan 15 hari.

Jadi, adalah lebih baik jika anda mencatat tarikh anda didatangi haidh supaya anda tidak terkeliru sama ada anda masih dalam tempoh suci atau sebaliknya..

Wallahu alam..

Jika anda musykil dgn perkongsian di atas, anda boleh rujuk ustaz2 yang mengajar kitab/pondok.. segelintir ustaz 'umum' juga tidak mengetahui hukum ini..